Thursday, February 25, 2010

Serkap

Serkap ialah sejenis alat untuk menangkap ikan yang diperbuat daripada buluh, rotan atau bemban. Masyarakat Melayu yang tinggal di pesisir pantai dan sungai gemar menangkap ikan pada masa dahulu dan sekarang untuk dijadikan sumber makanan dan juga sumber ekonomi. Mereka menggunakan serkap untuk menangkap ikan di sawah bendang, sungai, paya dan di kolam. Kebiasannya serkap diperbuat daripada buluh yang berbentuk kon.

Cara membuat serkap adalah mudah, hanya buluh yang matang dan tua sahaja akan digunakan untuk membuat serkap. Serkap diperbuat daripada buluh yang diraut halus. Kemudian buluh tersebut akan disusun di atas kerangka yang berbentuk bulat. Kerangka itu pula diperbuat daripada buluh yang dililit menggunakan rautan rotan. Ia berbentuk seperti kelongsong dan terbuka hujungnya.

Lazimnya serkap tidak diwarnakan dengan corak yang menarik. Buluh lebih sesuai dijadikan serkap kerana ia tahan lama dan tidak mudah reput apabila sentiasa terkena air.

Serkap juga boleh digunakan bagi menangkap dan mengurung ayam. Ayam yang diserkap biasanya ibu ayam dengan anak-anaknya yang berusia antara 3-4 hari, bagi tujuan keselamatan anak-anak ayam supaya dapat makanan yang cukup dan selamat daripada binatang yang makan anak ayam seperti kucing, anjing, musang dan burung helang.


No comments:

Post a Comment