Friday, February 19, 2010

Kuma-kuma hindar jerawat


masker pencerah yang mengandungi basil, tulsi dan minyak kuma-kuma disapu.


KUMA-KUMA atau nama komersialnya saffran antara rempah-ratus yang cukup mahal dalam masakan. Tetapi jarang sekali kedengaran ia digunakan dalam industri kecantikan khususnya produk penjagaan wajah.

Tumbuhan kecil berwarna kuning daripada keluarga Iridacea ini ditanam di beberapa negara seperti Iran, Sepanyol, Turki, India dan Itali.

Ia merupakan rempah termahal di dunia kerana dianggarkan sebanyak 150,000 hingga 200,000 kuntum bunga kuma-kuma diperlukan bagi mendapatkan sebanyak satu kilogram stigma kering.

Pelbagai ujian klinikal oleh saintis dan pakar-pakar kimia mengesahkan bahan ekstrak kuma-kuma memiliki nilai perubatan yang tinggi seperti dapat mengubati jerawat dan penyakit kulit.

Perubatan Ayurveda sejak ribuan tahun telah menggunakan bahan ekstrak kuma-kuma dalam lebih daripada 20 jenis ubat-ubatannya.

Pemilik First Impression Beauty Saloon, Fahrina Sheek Daud berkata, rawatan wajah yang menggunakan bahan campuran kuma-kuma dan serbuk emas dapat membantu menegang dan mencerahkan kulit muka.

''Rawatan ini sesuai bagi wanita yang berumur 35 tahun ke atas kerana pada umur ini struktur kulit mula berubah sedikit demi sedikit.

''Rawatan yang mengambil masa selama satu setengah jam ini memulihkan kulit yang suram tadi agar nampak bersih, cerah, halus, tegang dan lembap,'' kata Fahrina yang telah menjalankan perniagaan kecantikan ini selama lapan tahun.

Langkah-langkah:

1. Mula-mula muka akan dibersihkan menggunakan pembersih muka yang mengandungi herba, buah-buahan dan kuma-kuma bagi pembersihan secara mendalam untuk kulit lebih berseri.

2. Setelah dibersihkan, skrub yang mengandungi minyak gandum, kuma-kuma, aprikot dan tanah liat merah disapu pada muka bagi menanggalkan sel kulit mati dan menjadikan kulit lebih lembut.

3. Masker minyak tea-tree yang dicampur vitamin E, D, minyak gandum dan lemon disapu pada muka selama 10 minit bagi mengecilkan pori-pori dan sebagai anti oksida dan menjadikan kulit bersinar.

4. Muka diurut menggunakan krim urut kuma-kuma bercampur jel serbuk emas selama 20 minit bagi menegang, menganjalkan kulit dan anti penuaan.

5. Muka disapu rata dengan masker pencerah yang mengandungi basil, tulsi dan minyak kuma-kuma bagi memberi lebih kelembapan. Akhir sekali, krim pelindung matahari disapu pada muka.

Add to Google

No comments:

Post a Comment

Post a Comment