Friday, February 19, 2010

Cabaran Tough Guy paling lasak di dunia


BERANI atau tidak inilah cabaran yang harus dilalui peserta.


SUASANA di Ladang Perton Selatan di Wolverhampton, England hujung bulan lalu meriah dengan aksi-aksi ‘wira’ yang berjuang habis-habisan untuk merebut gelaran Mr. Tough Guy.

Cabaran Tough Guy yang masuk tahun ke-24 penganjurannya merupakan acara pertandingan lumba lasak paling mencabar di dunia.

Pertandingan yang diadakan pada pada musim tahun ini disertai 5,000 peserta lelaki dan wanita dari 25 buah negara. Mereka bersedia untuk menguji ketahanan fizikal dan mental pada tahap paling ekstrem.

Sebanyak 21 halangan dipertaruhkan di sepanjang laluan larian sejauh 30 kilometer itu. Permulaan pertandingan sudah sukar apabila peserta perlu berlari merentas desa. Kemudian kena mendaki susunan kayu dan menuruni lereng bukit yang curam dan berselut.

Halangan seterusnya adalah menyeberangi sungai dengan meniti di atas tali yang direntang kendur. Selepas itu, para peserta berdepan pula dengan gayutan Tarzan dari ketinggian 15 meter.

Bagaimanapun, cabaran itu belum lagi menceritakan kesukaran sebenar Cabaran Tough Guy kerana ujian paling ekstrem belum lagi bermula.

Cabaran sebenar yang dihadapi peserta ialah perlu meredah kesejukan air sungai yang mencapai paras beku. Membimbit kepingan ais dan melepasi terowong berlumpur yang sempit.

Dalam ujian seperti itu, peserta bukan sahaja tidak dapat bernafas malah lumpur berselut juga boleh menyebabkan peserta hilang penglihatan untuk seketika.

Bagi yang dapat melepasi semua cabaran itu, imej yang menanti mereka seterusnya mungkin jauh lebih ‘kejam’.

Bayangkan merangkak di bawah kawat berduri di atas permukaan tanah berselut dan meredah laluan berapi yang sedang menyala-yala dengan kepanasan membakar kulit.

Kemeriahan acara itu bukan sahaja diserikan dengan pekik dan teriak daripada penonton malah telatah peserta yang menggayakan pakaian ala super hero turut menghidupkan lagi suasana.

Antaranya ada yang bergaya dengan kustom seperti Superman, Spiderman, Robocop, pelawak dan lelaki Sparta.

Menariknya, untuk menikmati cabaran paling merbahaya tetapi paling selamat itu, peserta disyarat menandatangani perjanjian pendaftaran yang berbunyi ‘semuanya kesalahan saya kerana berada di sini”.

Penganjur Acara, Billy Walker yang lebih dikenali sebagai Mr. Mouse berkata, peserta datang dari seluruh dunia kerana tidak ada acara yang mempunyai ujian setaraf dengan Cabaran Tough Guy.

“Setiap tahun kita memperkenalkan sesuatu yang baru. Laluan tahun ini agak sukar. Anda boleh memilih sama ada untuk terjun ke dalam ‘ais’ ataupun memanjat ‘gunung tembok’.

“Tetapi kepuasannya tidak tergambar. Hatta peserta terakhir pun tidak dikira ‘kalah’ dalam pertandingan ini,” katanya.

Menurut Mr. Mouse, daripada keseluruhan peserta, seramai 600 peserta tidak berjaya menamatkan cabaran dan beberapa peserta mengalami patah tulang kaki dan tangan.

Pada tahun ini, Paul Jones dari Oswestry, England muncul sebagai juara selepas menamatkan cabaran dalam masa satu jam 18 minit.

No comments:

Post a Comment