Tuesday, February 2, 2010

Khasiat Glukosamin Untuk Sendi


Sendi tulang.

Ibu saya yang berusia 60 tahun mengalami masalah sendi sehingga menjejaskan pergerakannya. Sekiranya masalah itu sejenis penyakit akibat penuaan, mengapakah suami saya yang dalam pertengahan usia juga mula mengalami simptom yang sama sejak kebelakangan ini?

Malah doktor turut mengesyorkan glukosamin untuk masalah tersebut.

Jawapan:

Setelah mencapai umur 65 tahun, kira-kira 60 peratus lelaki dan 70 peratus wanita akan mengalami osteoartritis. Penyakit yang berkait dengan penuaan dan kecederaan itu paling biasa dialami.

Osteoartritis dicirikan melalui kemerosotan tisu rawan yang bertindak sebagai kusyen pelindung. Apabila tisu rawan merosot, tulang-tulang akan bergesel di antara satu sama lain. Pergeselan yang berterusan pada bahagian sendi yang terbabit akan menyebabkan berlakunya hakisan lalu menimbulkan kesakitan pada sendi. Bahagian yang sering terjejas adalah tangan dan sendi yang memikul berat seperti lutut, pinggul, jari dan tulang belakang.

Selain faktor usia, beberapa faktor lain juga perlu diambil kira. Berat badan berlebihan atau obesiti, jenis pekerjaan seseorang itu seperti ahli sukan atau mereka yang bergiat aktif dalam aktiviti fizikal juga tergolong dalam golongan yang berisiko lebih tinggi.

Mengurangkan berat badan juga merupakan langkah penting untuk individu yang mengalami masalah osteoartritis (sekiranya berat badan berlebihan). Ini kerana berat badan berlebihan memberi tekanan yang berlebihan pada sendi yang menampung berat terutamanya lutut, pinggul dan tumit.

Glukosamin adalah preskripsi lazim untuk menangani masalah osteoartritis. Badan boleh menghasilkan sejumlah kecil glukosamin, iaitu molekul ringkas yang mengandungi glukosa, yang biasanya didapati dengan banyaknya pada bahagian sendi dan tisu penyambung. Kajian menunjukkan bahawa glukosamin berkesan dalam melegakan kesakitan dan keradangan akibat osteoartritis di samping membantu meningkatkan kualiti pergerakan serta memulihara rawan.

Banyak kajian telah menyelidik potensi penggunaan glukosamin sulfat dalam menangani permasalahan osteoartritis. Ini termasuklah memulihkan fungsi dan melegakan simptom osteoartritis. Kajian juga memperlihatkan bahawa pengambilan glukosamin membantu melewatkan kemerosotan yang lebih serius. Kini banyak bukti yang menyokong penggunaan glukosamin sulfat. Dos sebanyak 1,500 miligram yang diambil secara oral setiap hari didapati memberi kesan yang ketara dalam mengurangkan tahap masalah osteoartritis dan melegakan simptom-simptom yang dialami.

No comments:

Post a Comment