Monday, March 1, 2010

Telur Dadar Sayuran


Telur Dadar Sayuran

BAHAN-BAHAN:

3 biji telur ayam

Kubis (hiris)

Lobak merah (hiris)

Daun bawang (hiris)

1 tangkai cili merah (hiris)

Daun sup (hiris)

Garam

Lada sulah

CARA MENYEDIAKAN:

1. Satukan kesemua bahan-bahan dan gaulkan sebati.

2. Panaskan minyak dan dadarkan adunan telur.

3. Biarkan telur separuh masak.

4. Kemudian gulungkan telur itu. Angkat dan sejukkan.

5. Setelah sejuk, potongkan mengikut kreativiti anda.

Pais Telur


Pais Telur

BAHAN-BAHAN:

10 biji telur

1/2 cawan santan pekat

Daun pisang

Garam dan lada hitam

Daun selasih

BAHAN BUMBU: (Tumbuk)

10 tangkai cili merah

5 ulas bawang merah

2 ulas bawang putih

1 biji tomato

3 biji buah keras

3 cm lengkuas

1 sudu kecil belacan

2 batang serai

Garam dan gula

CARA MENYEDIAKAN:

1. Pukul telur bersama garam dan lada hitam. Tuangkan dalam mangkuk dan kukus.

2. Setelah masak biarkan sejuk dan potong kiub.

3. Bahan bumbu disatukan dengan santan dan digaul dengan telur yang kukus yang dipotong tadi.

4. Campurkan sedikit daun selasih.

5. Bungkus dalam daun pisang.

6. Kukus selama 10 minit dan kemudian bakar.

Telur Uncang


Telur Uncang

BAHAN-BAHAN:

5 biji telur

200 gm isi ayam (cincang)

Sengkuang (potong dadu)

Lobak merah (potong dadu)

Cendawan butang (potong dadu)

Daun bawang (hiris)

Daun sup

Garam dan gula

1/2 sudu kecil kicap cair

Sedikit tepung jagung

BAHAN KUAH:

1 cawan air

Garam dan gula

1/2 sudu kecil pati kiub ayam

Sedikit tepung jagung

CARA MENYEDIAKAN:

1. Telur dipukul dan didadar nipis lima keping.

2. Panaskan kuali dan goreng ayam. Kemudian masukkan seng­kuang, lobak merah dan cendawan. Gaulkan seketika.

3. Tambahkan garam, gula, kicap cair, air dan sedikit bancuhan tepung jagung. Angkat dan sejukkan inti.

4. Untuk kuahnya, satukan kesemua bahan dan pekatkan sedikit dengan bancuhan tepung jagung. Setelah masak, ketepikan.

5. Ambil telur dadar tadi, masukkan sedikit inti dan bungkuskan.

6. Ikat menggunakan batang daun sup. Selepas itu kukuskan selama 5 minit.

7. Akhir sekali tuangkan kuah di atasnya dan hidangkan.

Lemak Telur Itik Pucuk Ubi


Lemak Telur Itik Pucuk Ubi

BAHAN-BAHAN:

6 biji telur itik

1/2 kg pucuk ubi kayu (rebus dan hiris)

2 keping asam gelugur (boleh juga digantikan dengan belimbing buluh)

1 sudu kecil kunyit serbuk

2 cawan santan pekat

1 cawan air

BAHAN TUMBUK:

3 ulas bawang merah

20 tangkai cili padi

3 batang serai

5 ulas bawang merah

CARA MENYEDIAKAN:

1. Masukkan semua bahan tumbuk, serbuk kunyit dan tuangkan air.

2. Perlahankan api dan pecahkan telur itik satu persatu.

3. Masukkan asam gelugur, santan pekat dan pucuk ubi.

4. Masukkan garam dan biarkan ia mendidih dengan api perlahan.

5. Setelah agak pekat, barulah ditutup api dan hidangkan.

Kek Coklat Kukus


Kek Coklat Kukus

BAHAN-BAHAN:

1 cawan serbuk coklat

1 cawan gula pasir

1 cawan marjerin cair

1 cawan susu cair

1/2 cawan susu pekat

1 1/4 cawan tepung gandum

1 sudu kecil serbuk penaik

1 sudu kecil soda bikarbonat

3 biji telur (pukul)

CARA MENYEDIAKAN:

1. Campur serbuk coklat, gula pasir, susu dan marjerin.

2. Panaskan di atas api, sampai gula larut (jangan hangus!)

3. Angkat dan sejukkan.

4. Sementara itu campur tepung, serbuk penaik dan soda bikarbonat, dan ayak.

5. Tuang susu manis ke dalam adunan yang disejukkan tadi, gaul rata.

6. Masukkan pula telur dan gaul rata lagi.

7. Masukkan seluruh campuran ke dalam tepung, aduk perlahan hingga sebati.

8. Tuangkan ke dalam acuan dan kukus selama sejam.

PESAN SAJI: Adunan akan naik dua kali ganda. Oleh itu gunakan loyang yang tinggi dan besar.

Frieda Tokoh Nilam Perak baca 740 buku

IPOH 12 Feb. - T. Frieda Violet, 12, yang sangat meminati penulisan sasterawan negara, Datuk Dr. Anwar Ridwan terpilih sebagai Tokoh Nilam Negeri Perak 2010 di sini, hari ini.

Murid tahun enam Sekolah Kebangsaan (SK) Convent Kota, Taiping itu merupakan johan bagi kategori sekolah rendah dan kategori sekolah rendah bandar.

''Saya sudah membaca sebanyak 740 buah buku dari tahun satu hingga tahun enam yang kebanyakan penulisannya dalam bahasa Melayu," katanya ketika ditemui selepas program Khemah Membaca dan Pemilihan Tokoh Nilam Negeri Perak 2010 di sini.

Menurut anak kepada pasangan doktor dan guru itu, minat membacanya mula timbul selepas kagum dengan kebolehan abangnya, Nehemiah, 20, yang mampu membaca buku setebal 700 muka surat dalam masa sehari.

Kemenangan dalam dua kategori itu membolehkan Frieda Violet membawa pulang wang tunai RM900 bersama sijil dan buku sumbangan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Sementara itu, Tokoh Nilam Negeri Perak 2010 Kategori Sekolah Menengah, Nuraimi Nadirah Rohim @Rahim, 17, telah membaca sebanyak 680 buku sejak tingkatan dua hingga tingkatan lima.

''Kebanyakan buku yang saya baca adalah karya-karya sastera dan yang paling saya minati ialah novel yang ditulis oleh Faisal Tehrani.

Pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Sains Raja Tun Azlan Shah, Taiping itu berkata, minat membacanya dipupuk sejak kecil lagi dan ia banyak didorong oleh kedua ibu bapanya.

''Saya mula membaca sejak berumur empat tahun tetapi sejak bayi lagi, ibu bapa saya sering membacakan buku cerita kepada saya dan mereka juga menghadiahkan buku pada setiap hari jadi saya,'' kata anak kepada pasangan guru itu.

Anugerah Tokoh Nilam Negeri Perak pada tahun ini juga menyaksikan buat pertama kalinya seorang pelajar Orang Asli, Rehan Asod, 12, menerima anugerah bagi kategori sekolah rendah pedalaman.

Pelajar SK Pos Loi, Lasah itu, menewaskan dua lagi calon Orang Asli iaitu Robiah Tentok dari SK Jernang, Sungkai dan Abok Sarida Rahmat dari SK Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Air Banun, Gerik.

Rehan sudah membaca sebanyak 300 buku sejak tahun empat hingga enam dan buku paling diminatinya ialah Tekun Usaha Tangga Kejayaan.